Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta
mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti
membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid
terpinga-pinga.
“Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah
sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh
muridnya.
Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab,
“ Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk
menunaikannya untuk Tuan Guru”.
Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku
punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin
membantuku mengagihkan harta ini?”
“Kami bersedia
membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut
dengan bersemangat.
“Bolehkah Tuan Guru
perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain
bertanya dengan lebih lanjut.
“Hartaku ini akan aku
sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan
Guru dengan tenang.
Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan
utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.
“Aku sudah
mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku
ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku sendiri yang pergi
menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.
Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka
tunjukkan.Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk
menyampaikan harta tersebut.Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang
terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina
seperti itu.
“Ketuklah setiap
pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan
bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga
diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya
tersebut.
Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya
dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar
memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu
dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran
tersebut.
Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu
dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.
“Assalamualaikum,
maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan
ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar
mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.
Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang
alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai
tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil
menghelakan nafasnya.
Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku
selanjutnya setelah peristiwa tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang
mengejutkan telah berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur
yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh
di Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru
dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.Barulah semua
murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah
tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.
Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan
Guru yang wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak
yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.
Tuan Guru yang saya maksudkan di sini ialah al-Alim
al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu
taala.Beliau wafat pada 1354 Hijriyah.Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan
al-Muhaddissin” yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang
terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.
Beliau mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti
Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah
Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin
al-Hasani juga mengajar kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan
tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya.Tafsir tersebut telah dihafalnya
dan dikuasainya dengan begitu hebat.
Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai
30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.Ini juga
dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih
Bukhari di dalam dadanya.Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang
begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti
Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah.Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari ,
keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah,
falsafah dan lain-lain.
Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah
juga ialah, semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya
para ulama dan penuntut ilmu, malah para petani dan orang awam yang biasa juga
mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi
rahimahullah.Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan
pengajian.Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi
kepada seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut.
Semoga Allah taala merahmatimu wahai Tuan Guru yang mulia.
Saya mendengar kisah tersebut daripada Guru Saya yang Mulia,
Syeikhuna al-Allamah Dr Wafiq al-Hijazi al-Hanafi hafizahullah.
Al-Fatihah buat Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Sayyid
Badruddin al-Hasani rahimahullah.
Mohd Nazrul
Abd Nasir,
Al-Azhar
al-Syarif,
Kaherah
Mesir
Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta
mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti
membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid
terpinga-pinga.
No comments:
Post a Comment